Friday, August 6, 2010

"Belum Berjuang, Sudah Meraikan Kemenangan"


25 Syaaban 1431 Hijrah/ 6 Ogos 2010


Suatu petang yang hening....

"Bang...raya nanti kita nak pakai warna apa ye?", tanya si isteri. "Terpulanglah pada sayang, abang tak kisah", jawab si suami. Si isteri tersenyum, terbayang baju kurung hijau pucuk pisang di mata. Sedondon pula dengan baju melayu warna yang sama milik si suami. Mereka baru berkahwin dan inilah kali pertama mereka akan menyambut hari raya berdua. Ramadhan akan menjelma 4 hari lagi, tetapi sudah terbayang suasana raya yang bakal menjelang.

Situasi di atas adalah senario biasa di negara kita.

Pernahkah anda lihat tentera yang akan pergi berjuang tetapi sudah meraikan kemenangan? Bukankah pelik jika situasi itu berlaku. Medan perjuangan sudah dekat di depan tapi mereka sudah buat persiapan untuk bersuka-ria menyambut kemenangan. Seolah-olah mereka sudah pasti bahawa mereka akan menang.

Di negara kita inilah yang selalu terjadi....

Ramadhan belum pun menjelma, kita sudah sibuk melakukan persiapan untuk hari raya. Sudah mula memikirkan kain warna apa yang hendak dibeli, dimana mahu ditempah. Sudah mula memikirkan perabot mahu ditukar di tambah lagi dengan promosi syarikat - syarikat perabot yang menggalakkan hutang dan riba. "Promosi Raya, Dapatkan Perabot Idaman Anda Tanpa Perlu Bayar Sehingga 90 Hari". Hebat sungguh promosinya. Jangan terpedaya kawan-kawan, bukan kemenangan namanya jika kemenangan disambut dengan hutang.

Belum tiba Ramadhan sudah berkira untuk menukar kereta, sport rim, mahu tambah spoiler dan macam-macam lagi. Barulah lengkap hari raya kita nanti. Seolah-olah kita pasti kita akan berjaya menempuh Ramadhan dengan cemerlang. Seolah-olah kemenangan adalah milik mutlak kita.

Jika melangkah di pusat membeli-belah sudah kedengaran lagu-lagu raya. Di corong-corong radio sudah berkumandang lagu suasana hari raya padahal baru sahaja awal Ramadhan. Terlintaskah difikiran apakah kita pasti, kita akan bertemu Ramadhan dan berjuang dalam bulan Ramadhan atau kita ditakdirkan mati sebelum Ramadhan. Bacalah surat khabar, pasti ada saja berita tentang kematian setiap hari. Ambillah iktibar dan samalah kita berdoa moga Allah pertemukan kita dengan Ramadhan al-Mubarak.

Kawan-kawan...

InsyaAllah, lagi 4 hari kita akan menyambut Ramadhan. Penghulu segala bulan. Bulan penuh keberkatan. Bulan diawalnya Rahmat, pertengahannya Pengampunan dan diakhirnya kebebasan dari api neraka buat mereka yang benar-benar menghidupkan Ramadhan.

Setiap muslim pasti akan merindui Ramadhan. Ramadhan umpama kekasih yang telah lama pergi dan kini datang kembali untuk menemui kita. Tapi datangnya tidak lama cuma sebulan sahaja untuk "bermesra" dengan kita.

Jika kita mahu jumpa kekasih kita yang kita rindui, yang setahun tak berjumpa, apa yang kita buat? Pasti kita mandi bersih-bersih, sabun satu badan. Kemudian rambut yang serabut kita gunting biar kemas. Baju dan seluar kita gosok tak mahu ada kedut sedikit pun.

Malam sebelum berjumpa tak boleh tidur....gelisah, rindu tak sabar nak jumpa. Sebelum berjumpa kita pakai minyak wangi..sembur banyak-banyak biar senang hati kekasih. Dahsyat sungguh persiapan kita kan?

Dan bila berjumpa pasti kita kan buat yang terbaik untuk dia..masa yang kita ada dengan kekasih tak lama..cuma sebulan..mmm sebulan bersama kekasih umpama sehari, terasa cepat masa berlalu. Duit dilabur kita tak kisah janji masa dengan kekasih kita bahagia. Saat berpisah dengan kekasih pasti kita sedih, merenung nasib bilakah kita akan berjumpa semula dengannya.

Begitulah sepatutnya kita menyambut Ramadhan. Melakukan persiapan diri sebaik-baiknya, belajar tentang asas-asas puasa, rukun puasa, perkara yang membatalkan puasa, cara solat terawih, perkara-perkara sunat di bulan Ramadhan dan lain-lain amalan dibulan Ramadhan.

Jika sebelum jumpa kekasih kita mandi bersih-bersih, maka sebelum bertemu Ramadhan kita bersihkan hati kita. Taubat dan doa sungguh-sungguh. Minta maaf pada ibu bapa, rakan dan sahabat kita. Sambutlah Ramadhan dengan hati yang bersih.

Kemudian kita tahu kita cuma ada sebulan sahaja mahu "berdating" dengan Ramadhan buatlah perancangan apa yang mahu kita lakukan dibulan Ramadhan. Ada orang mahu berazam mahu membaca Al-quran sepanjang ramadhan, ada orang mahu duduk di saf depan solat terawih sepanjang Ramadhan, ada orang mahu bersedekah dengan anak yatim, maka buatlah perancangan. Mantapkan ilmu kita moga kita tidak kehilangan arah pada bulan Ramadhan.

Ramadhan bulan bonus bagi umat Islam sekarang. Allah janjikan bonus yang sangat besar pada bulan Ramadhan dengan syarat "Perfomance Kena Bagus". InsyaAllah, jika performance kita bagus, kita kan dapat bonus, ganjaran yang amat besar dari Allah. Jika performance kita sangat bagus, insyaAllah, Allah beri kita bonus seribu bulan iaitu "Lailatulqadar". Malam penuh keberkatan umpama seribu bulan. Tidak pernah kita dengar pun syarikat-syarikat yang besar yang mampu beri bonus sebanyak seribu bulan tapi Allah beri. Lihatlah betapa Allah itu maha kaya lagi maha Penyayang pada hamba-hambanya.

Kita bila dengar bonus je terus senyum.... tak senyum pun hati kita berbunga. Tapi ingat bonus based on performance kawan-kawan. Jangan sibuk berkira berapa bonus yang kita akan dapat tapi fokuslah untuk perform yang terbaik. Mantapkan ilmu Ramadhan, buatlah perancangan dan tawakallah pada Allah moga Ramadhan yang kita lalui nanti jika diizin Allah adalah Ramadhan yang terbaik dari Ramadhan yang sebelum ini.

Kawan-kawan...

Sama-samalah kita berdoa moga umur kita dipanjangkan untuk bertemu dengan Ramadhan al-Mubarak. Bulan penuh keberkatan, bulan dimana doa kita dimakbulkan. Sama-samalah panjat doa seikhlas hati moga Allah memberi peluang untuk kita menikmati bulan Ramadhan pada tahun ini.

RASULULLAH SAW telah menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana Allah mewajibkan kepada kamu berpuasa, kerana pada bulan Ramadan dibukakan semua pintu syurga, dikuncikan pintu-pintu neraka dan di belenggukan syaitan, dan juga terdapat suatu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan, barang siapa terlepas daripada mendapat kebajikan pada malam ini, bererti tertegahlah kepada segala bentuk kebaikan.”

Kawan-kawan...

Fokuslah pada perjuangan di bulan Ramadhan sebelum kita teruja dengan kemenangan yang mungkin bukan milik kita.

P/s : Maaf jika ada terkasar bahasa, tersilap kata.


2 comments:

toxicated said...

mm yang ni best....5 bintang...!!
(^_^)

muni said...

erkkkk.... insafff jaaappp.... (banggggg..... sy tahun ni tak nak la beli baju raya 8 pasang tu......)hehe.. tp lagu maher zain nih mmg favorite.... tebaikkk.... (clap10x)....