Wednesday, January 23, 2013

Siapa yang dijajah...Palestin atau Kita


Palestin...
 “Monolog diri aku“
Aku nak pergi Palestin, nak pertahankan umat Islam di sana. Islam di sana ditindas, rakyatnya dibunuh, rumah diroboh. Aku nak pergi…nak tolong mereka yang dilanda bencana di sana.
Eh kejap….betul ke palestin dilanda bencana…aku tengok okay je. Tak ada  apa-apa yang tak kena pun.
Eish, ko buta ke! Pekak! Diorang kat sana dibom, anak –anak disana disembelih, ditangkap, ditembak. Kau bayangkan kalau anak kau ditembak.  Apa Kau rasa?
Yang tu betul aku setuju. Tapi apa masalah umat Islam disana?
Eh eh kau ni betulla…buta berita ke? Tu yahudi tu musuh umat islam tu nak bunuh umat Islam di sana. Diorang tembak, bom rumah, serang guna helicopter. Sekat ekonomi, makanan semua tak cukup kau masih lagi kata okay. Betullah kau ni buta..
Oh, itu yahudi tu memang musuh Islam. Jadi kau memang nak pergilah ni. Nak berjihad la. Kalau kau pergi apa kau nak buat? Nak tembak semua orang yahudi?  Nak belasah diorang sampai lembik? Boleh ke?
Ye lah… apa lagi. Takkan pergi sana melancong kot. Aku nak bunuh seramai mungkin orang yahudi disana. Aku akan tembak askar pengecut mereka.  Aku ingin mati syahid.  Aku nak perjuangkan Islam di sana.
Jap –jap kau nak perjuangkan Islam kat sana?
Ye lah dah tu ape plak.
Tapi apa masalah Islam kat sana?
Eh kau ni tanya lagi. Kan Islam ditindas disana. Al Quds di tawan. Tu yang aku nak berjihad ni.  Kau ni kenapa nak halang-halang aku berjihad ni.
Kenapa Al quds ditawan?
Aghh kau ni kenapa? Mestilah sebab yahudi tu yang tawan. Mereka kan musuh Islam.
Maaflah kawan, aku cuma nak tau sahaja. Bagi aku Islam di Palestin tiada masalah. Okay je.
Oit kau ni bengong ke. Kenapa kau cakap macam tu?
Ye la bagi aku Islam di sana subur.  Masjid sentiasa penuh setiap waktu fardhu walau pun masjid dah tak macam masjid dah. Kanak-kanak dah boleh menghafaz Al-Quran. Kita kat sini anak baru khatam Quran, sepuluh buah khemah naik nak buat kenduri. Islam disana kuat. Orang-orang disana semuanya baik-baik. Kau pernah dengar kes curi kat sana, kes buang anak, kes zina, kes tangkap basah. Takde kan. Jadi apa masalah Islam kat sana yang kau nak pergi berjihad tu. Kau kata kau nak perjuangkan Islam kat sana tu yang aku nak tau tu.
Aku nak tembak askar yahudilah. Aku nak mati syahid.
Alhamdulillah, moga Allah memperkenankan hasrat kau tu. Cuma aku nak tanya.  Kalau kau pergi sana kau rasa boleh banyak membantu ke? Lemah ke yahudi dengan kehadiran kau kat sana?
Yang kau belit-belit  nie kenapa? Aku tak fahamlah.
Isu Palestin, masalahnya bukan disana. Punca masalahnya disini. Kau faham tak?
Tak fahamlah. Cuba kau terangkan sikit.
Okay, kenapa palestin ditawan? Sebab yahudi kuat ke atau kita umat Islam ini yang lemah? Bagi aku yahudi berjaya tawan Palestin sebab Islam hari ini semakin lemah. Bukan sebab yahudi kuat.
Dah tu apa yang aku nak buat? Dok kat sini pun bukan boleh buat apa-apa pun. Tengok berita palestin diserang aku jadi geram, sedih, marah. Apa aku perlu aku buat?
Mari kita belajar dari sejarah. Lihat bagaimana Sultan Salahuddin Al Ayubi menawan kota suci Baitulmaqdis. Baginda tak pun terus pergi serang je nak, tidak. Baginda satukan umat-umat Islam dahulu. Bila umat Islam bersatu, barulah Baitulmaqdis berjaya di tawan.
Tapi zaman sekarang mana ada orang macam Sultan Salahuddin Al Ayubi lagi, macam Sultan Muhammad Al Fateh. Dah takde dah.
Ada…kenapa pulak tak de.
Kat mana?
Dalam diri kamu. Dalam hati kamu wujud sikap Muhammad Al fateh, Sultan Salahuddin Al ayubi, cuma kamu sahaja tidak menyedari.
Benarkah? Macam tak percaya je.  Betul ke. Jadi apa perlu aku lakukan?
Palestin, bumi para Anbia, bumi barakah yang sedang bergolak itu adalah simptom. Simptom yang menunjukkan umat islam sekarang sedang sakit. Umat islam yang sudah meninggalkan Islam dalam hati. Kita cuma mampu melihat sahaja. Mereka beruntung di sana kerana dipilih Allah untuk berjuang mempertahankan Islam. Cuba kita lihat, anak-anak kecil disana bercita-cita untuk syahid. Anak-anak kecil disini bercita-cita menjadi penyanyi. Pemuda-pemuda disana mengangkat senjata mempertahan maruah Islam, anak-anak muda disini mengangkut awek menggadai maruah. Wanita-wanita disana tabah bila anak mereka syahid. Wanita-wanita disini merajuk tidak dibawa shopping.  Kita disini menepuk perut berlemak ketika lapar. Siapa yang dilanda bencana sekarang..mereka atau kita? Kita bersyukur kerana Allah memberi kita keamanan, atau kita sedang menunggu bala.
Dah tu apa aku harus buat?
Bukan harus,tapi wajib.
Okay apa yang wajib aku buat?
Dakwah, pada diri kamu, orang-orang sekelililng kamu supaya kembali pada Islam. Amalkan cara hidup Islam. Mencintai Allah dan Rasul lebih dari dunia dan isinya.
Apa kesannya pada Palestin? Palestin akan bebaskah?
Bila umat Islam bersatu, bergantung dan memohon hanya pada Allah, masjid-masjid meriah dengan Jemaah setiap waktu fardhu, Islam ditegakkan ketika itulah Islam sudah menang. Palestin akan menjadi kota suci milik orang Islam. Palestin adalah kayu ukur kesatuan ummat. Nabi cakap umat Islam umpama satu badan, jika satu anggota sakit, yang lain akan terasa sakitnya juga. Tapi sekarang umat Islam bagaikan orang lumpuh.  Dah tak rasa apa-apa pun
Nak dakwah? Aku bukan pandai agama pun.
Tak pandai agama pun kita boleh berdakwah.  Boleh ajak kawan-kawan pergi dengar ceramah ke, kumpul artikel tentang hikmah solat ke kemudian sebarkan. Kita ajak anak-anak muda ke masjid solat berjemaah.Buatlah apa yang termampu. Janji Amar Maaruf Nahi Mungkar. Negara kita ni, dah terlalu nazak, gejala sosial dah terlalu teruk, zina, dadah, rempit, bohsia bohjan, malah dah dijadikan filem. Krisis Palestin berlaku kerana kita yang merelakan. Jika kau fikir hanya palestin sahaja yang ditawan kau ternyata silap, Palestin masih belum di tawan, kerana itu Yahudi masih terus menyerang Palestin. Kita ini lah sebenarnya yang telah di tawan. Cara hidup kita dah hampir sama dah dengan cara hidup mereka. Malah kita telah pun menjadi askar-askar yahudi yang membekalkan senjata untuk membunuh umat Islam disana. Kita ini lah pembelot. Kitalah yang sebenarnya menjayakan rancangan-rancangan yahudi laknatullah.
Oit kau cakap baik-baik sikit.
Ye kita pembelot, kita tau umat Islam akan menang jika amalkan cara hidup Islam seperti yang Nabi SAW ajarkan tapi kita tak buat. Kita pembelot!
Kita tau yahudi takut dengan umat Islam yang ramai solat jemaah setiap waktu fardhu, tapi kita tak buat. Kita pembelot!
Kita tau yahudi akan kalah jika kita amalkan sunnah Nabi SAW, tapi kita minum pun selalu berdiri, bismillah pun cuma bila makan, itu pun selalu lupa. Kita pembelot!
Kita tau yahudi kuat kerana ekonominya kita yang sokong tapi kita tak boikot barang-barang mereka, kita bagi duit kat diorang untuk bunuh saudara kita. Kita lah sebenarnya pembelot.  Kau tau tak apa ayat kita bila kita membeli barang-barang yang sokong yahudi?
Apa dia?

Aku bagi contoh lah McDonald.  Contoh ayatnya macam nie. “ Dik bagi prosperity dua set, yang large punya.”
“Eh abang tak boikot ke? McD nie memang sokong zionis bang”
“Ala tak pe, kau ambil duit ni, beli senapang tembak saudara aku kat palestin sana. Aku dapat burger pun dah rasa bahagia sangat.” Demi burger kita sanggup tolong musuh Islam bunuh saudara kita yang pertahankan Islam. Kan pembelot namanya tu. Kita menangis bila tengok yahudi serang,bunuh dan seksa umat Islam, berapi-berapi kita berborak tentang kekejaman yahudi tapi sambil borak kita hisap rokok. Rokok kan merupakan sumber ekonomi yahudi yang sangat besar.  Kita nilah pembelot.
Habis tu apa yang perlu kita buat. ?
Kembalilah pada Islam, Kita akan menang.  Ramai kata kita perlu bersyukur negara kita aman, ya benar, Negara kita memang aman dari peperangan malah terlalu aman hingga maksiat pun boleh dibuat dengan aman.  Kau fikir Nabi akan tersenyum kah melihat negara kita yang aman ini atau Nabi tersenyum melihat melihat rakyat Palestin yang sengsara.  Mari kita fikir, bertindaklah sekarang.
Hayatilah peringatan Dari Allah ini.
Surah Ash-Shaff
1. Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
2. Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa Yang kamu tidak melakukannya!
3. amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.
4. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.
5. dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui Bahawa Sesungguhnya Aku ini pesuruh Allah kepada kamu?" maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran Yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang fasik - derhaka.
6. dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, Sesungguhnya Aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab Yang diturunkan sebelumku, Iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira Dengan kedatangan seorang Rasul Yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir Yang jelas nyata!"
7. dan tidak ada Yang lebih zalim daripada orang Yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang zalim.
8. mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian).
9. Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) Dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas Segala ugama Yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).
12. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar.
13. dan ada lagi limpah kurnia Yang kamu sukai, Iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan Yang cepat (Masa berlakunya). dan sampaikanlah berita Yang mengembirakan itu kepada orang-orang Yang beriman.
14. Wahai orang-orang Yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang Yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang Yang menang.

Wednesday, May 30, 2012

Warkah Buat Isteriku

Assalamualaikum...


Buat isteri abang yang tercinta,

Ketika surat ini ditulis sayang telah pun beradu melepas lelah setelah penat bekerja di pejabat dan di rumah.
Sayu hati melihat sayang baring bukan di atas tilam yang lembut, tidak selembut tilam yang mengalas bayi kita di dalam perut mu sayang. "Alah jika puteri Rasulullah SAW hanya beralaskan tikar tidak merungut, inikan pula kita yang ada tilam nipis" Itulah jawapan sayang setiap kali abang menyatakan kekesalan. Maafkan abang sayang.

Alhamdulillah, 

Dalam usia perkahwinan tidak sampai sebulan, Allah dengan RahmatNya yang luas mengurniakan cahaya mata buat kita. Gembira rasa hati kerana tidak lama lagi kita akan bergelar Abi dan Ummi. Ah macam-macam yang kita fikirkan. mahu melihat anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah. Merancang mahu mendidik anak kita dengan baik, kitalah ibu bapa, kitalah guru, kitalah idola hehehe malah sayang mengatakan abang terpaksa bersaing dengan Boboiboy, Power Rangers, Ultraman dan Ben 10. 

Kini,

Usia kandungan sayang sudah hampir mencapai 9 bulan. Alhamdulillah, anak kita sihat, moga Allah permudahkan ketika sayang bersalin nanti. Mengenang kembali awal kehamilan sayang buat abang kagum dengan ketabahan seorang perempuan.  Dalam kepayahan, sakit pening, sayang layan abang dengan baik sekali. Dengan kaki yang bengkak sayang memasak, dengan pinggang yang lenguh sayang membasuh, dengan kepala yang sakit sayang teruskan melaksanakan kerja biarpun itu bukan tanggungjawab sayang.

Sayang,

Abang berasa sangat bersyukur kerana Allah mempertemukan kita. Menjadikan sayang teman hidup, bidadari hati abang. Abang tidaklah sebaik mana, romantis jauh sekali. Jika abang ada melakukan kesalahan, mengguris hati dan perasaan, abang pohon maafkanlah abang. Jika abang melakukan kesalahan, maka tegurlah abang kerana teguran itu tanda kasih sayang membentuk abang menjadi lebih baik.

Sayang,

Abang tidak mampu untuk memberikan kemewahan dunia, harta yang yang melimpah ruah. Namun abang akan cuba yang terbaik untuk membahagiakan dirimu. Tidak banyak yang dapat abang berikan untukmu dalam masa umur yang singkat. Moga Allah memberkati perkahwinan dan keluarga yang akan kita bina.

Sayang,

Abang redha sayang sebagai isteri abang dari hari pernikahan kita hingga akhir hayat abang. Moga Allah permudahkan urusan ketika sayang berjihad bertarung nyawa melahirkan anak kita nanti. Doa abang untuk sayang tidak pernah putus. Moga semuanya akan selamat. 


Ya Allah permudahkan urusan kami di dunia ini dan permudahkan urusan kami lebih-lebih lagi di akhirat nanti.


Suamimu.....



Wednesday, May 23, 2012

Penatlah jadi Pemalas

Penat......
Huhuhu mesti anda semua pernah mengalami perasaan penat kan?
Penat saya ni bukan penat fizikal tetapi penat saya adalah penat menjadi seorang yang pemalas, seorang yang selalu gagal tapi kuat berangan hehehe. Anda bagaimana?

Jom jadi rajin dan berjaya. Tidak susah untuk jadi rajin dan berjaya, cuma kita kena buang perkataan 'kalau' sahaja.

Macam mana tu? Kita selalu dengar orang cakap " Eleh, kalau aku pandai macam dia aku pun boleh..."
atau orang cakap macam ni  "Kalau aku kaya macam orang tu pun aku akan derma banyak-banyak..."
ataupun "aku, kalau berjaya dan kaya aku akan bina masjid dengan dewan sekali"

Ha...kita cuma kena buang perkataan 'kalau' je kerana perkataan ini banyak lahir dari perasaan yang negatif dan ia akan menegatifkan. Buang jauh2 perkataan itu dan jom jadi rajin. Saya juga mahu jadi rajin...tak mahu jadi malas.

Tidak cemburukah kita melihat kejayaan orang lain. Malah Allah juga menyeru kepada kita setiap hari dalan seruan azanNya " Marilah menuju kejayaan"

Senyum dan jom jadi orang yang berjaya...


p/s; akhirnye berjaya gak tulis kat blog nie balik...

Monday, April 25, 2011

Terharu....

Terima kasih kerana memberikan saya sesuatu yang amat bernilai..
terharu sangat....sebab ia menghidupkan kembali cita-cta dan impian saya...
huhuhuhuhu terharu....
Saya akan cuba gunakannya untuk capai impian kita....

Wednesday, March 23, 2011

Motivasi

"Setiap pagi anda bangun tidur dan anda masih berada di atas tanah, itulah hari yang terbaik buat anda"
-Craig Naylor-

Wednesday, March 9, 2011

Lena Yang Panjang

Hati masih terlena walau jasad dalam jaga
modal usia mengalir tanpa ibadah
masa berlalu dengan sia-sia

sejarah penuh dengan dosa,
menyesal tapi masih melakukan
iman semakin kecil,
nafsu bertakhta beraja,
memerintah anggota melakukan durja

Duhai hati...
bangkitlah...
wahai Iman...
bersinarlah...
Berjihadlah dengan tabah....
Memang peperangan ini amat sukar..
namun menyerah jangan sekali...
biar kalah beribu kali....
biar rebah berjuta kali...
Selagi belum mati...
kemenangan belum pasti...

Ya Allah Ya tuhanku...
aku bermohon padaMu
Wahai Tuhan yang maha pengasih...
Kuatkanlah hati ini...
kukuhkan kubu iman ku...
moga kemenangan menjelma disaat aku mati...

Wahai Tuhan...
Aku hamba yang menzalimi diriku...
Menghabiskan masa usia ku dengan sia-sia...
melakukan dosa setiap hari....
tidak layak untuk syurga mu...

Wahai Tuhan...
Yang maha Pengasih...
Yang maha Pengampun...
Ampunilah diri ini....

Wahai hati...
bangkitlah....
wahai iman....
Bersinarlah....
moga dari saat ini...
kita tidak akan kalah lagi....

Ya Allah...
Sinarilah hatiku dengan cahaya hidayahMu...
seperti Engkau menerangi bumi dan langit...
Dengan rahmatMu yang maha pengasih dan maha penyayang....
Berkatilah usia ku....
Aku mohon padaMU....
wahai Tuhan Sekelian Alam...
Engkaulah tempat ku bergantung harapan....


Buat Insan Bergelar Isteri

Pagi yang hening, aku masih termenung memikirkan perjalanan hidupku. InsyaAllah tahun ini aku akan naik pangkat bergelar suami pada seseorang.

Rasa takut, gementar bercampur baur dalam hati. Mampukah aku melaksanakan tanggugjawabku nanti. Memimpin orang yang tersayang dalam kekontangan ilmu. Terlalu banyak kekurangan diri ini tapi dia masih menerimaku.

Buat bakal Isteriku,

Aku tidaklah setampan Salman Khan atau Aaron Aziz,
aku juga tidak sekaya Bill Gates,
namun terasa diri inilah orang yang paling tampan dan kaya,
saat kau menjadi isteriku.

Aku tidaklah sebaik Nabi,
tidak lari dari dosa dan kekhilafan,
sering terbabas dari landasan,
nasihatilah aku dalam kelembutan,
moga aku pulang ke pangkal jalan.

Aku cuma lelaki biasa,
tidak sehebat tokoh-tokoh dunia,
namun kau menerimaku seadanya,
walaupun ramai lelaki yang mencuba.

Hadirmu adalah anugerah,
Penyelamat hati dari kesepian,
Peneman di kala susah dan senang,
Penyejuk mata penawar hati.

Doa ku panjatkan moga bahagia dalam ujian,
Usia kita dipenuhi kasih sayang,
Anak-anak yang soleh dan solehah,
Menuju matlamat mencari redhaNya,
Moga Allah makbulkan.

Terima kasih Allah,
menghadirkan dirinya dalam hidupku,
menjadi bidadari hati ini,
pelengkap hidup seorang lelaki.

Ya Allah, berkatilah hidup kami,
Amin..